Seorang pegawai kerajaan negeri Pulau Pinang tidak bersetuju dengan
pandangan bahawa sistem amaran cuaca yang diperkenalkan negeri itu
menyalahi undang-undang sebaliknya menggesa kerajaan bertindak
"proaktif" untuk menghadapi banjir di masa depan.
"Sistem amaran yang diperkenalkan oleh Pulau Pinang adalah tindak
balas proaktif kerajaan negeri untuk mengurangkan kerugian di masa depan
yang disebabkan oleh keadaan cuaca buruk," kata Raja Syarafina Raja
Shuib dalam kenyataan medianya.
Beliau berkata demikian mengulas artikel The Star hari ini,
memetik pandangan profesor Universiti Malaya, prof Azizan Abu Samah yang
mengatakan sistem amaran cuaca yang mahu diwujudkan kerajaan negeri itu
tidak sah dari sudut undang-undang dan menyebabkan pertindihan dengan
kerajaan pusat.
"Sebaliknya, kerajaan Pulau Pinang ingin mempersiapkan dan melindungi
diri kita dari sebarang taufan yang mendatang," kata pegawai kas
undang-undang kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng itu.
Merujuk kepada banjir buruk yang melanda negeri itu bulan ini, Raja
Syarafina berkata "tiada sebarang amaran dikeluarkan oleh Jabatan
Meteorologi mengenai ribut yang melanda dan belum pernah dilihat di
Pulau Pinang".
"Peringatan amaran merah hanya dikeluarkan pada jam 9.30 malam pada 4 November apabila taufan sudah bermula," kata beliau.
Katanya, kerajaan negeri mencuba segala usaha untuk memastikan rakyat
Pulau Pinang mendapat maklumat dan bersedia untuk menghadapi sebarang
keadaan cuaca buruk.
Minggu lalu kerajaan Pulau Pinang dilapor akan mempertimbangkan untuk
mendapatkan khidmat pengkaji cuaca dari luar negara bagi mendapatkan
amaran cuaca buruk.
Ketua Menterinya Lim Guan Eng berkata Majlis Hijau Pulau Pinang akan
mengkaji sama ada negeri itu mampu menubuhkan sistem amaran cuacanya
sendiri.
Malaysiakini 18/11/17
No comments:
Post a Comment