Sunday, November 19, 2017

Perkasa isytihar ‘perang’ jika kerajaan iktiraf UEC

 | November 19, 2017
Ibrahim Ali berkata, kerajaan perlu menolak pengiktirafan UEC kerana ia bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 dan Perkara 152 (1) Perlembagaan.
VIDEO INSIDE
ibrahim-uec
KUALA LUMPUR: Perkasa menentang sekeras-kerasnya termasuk akan mengisytiharkan “perang” jika kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, kerajaan perlu menolak pengiktirafan UEC kerana ia bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 dan Perkara 152 (1) Perlembagaan.
“Jangan ada parti-parti politik kecoh dan bising, jika UEC tidak diiktiraf kerajaan Malaysia.

“Menjelang pilihan raya umum, banyak buat tuntutan demi undi. Kita semua tidak boleh tolak ansur,” katanya ketika berucap pada Persidangan Agung Tahunan ke-8 Perkasa di Stadium Taman Tasik Titiwangsa.
Pada 8 Februari lalu, Pengerusi Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong), Datuk Vincent Lau Lee Ming menafikan silibus subjek Sejarah diambil dari China dan Taiwan.

Beliau berkata, pihaknya bersedia berbincang dengan Kementerian Pendidikan mengenai keputusan mewajibkan pelajar lulus subjek Sejarah bagi UEC.
Ia selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan akan meminta menteri pendidikan menjalankan kajian mendalam berhubung pengiktirafan UEC, pada 4 Februari lalu.

Pada 1 April lalu, Perkasa mengancam mahu menyaman kerajaan jika mengiktiraf UEC.
Menerusi resolusi sidang meja bulatnya, Perkasa digesa membawa isu UEC ke mahkamah untuk memohon pembatalan sekiranya kerajaan mengiktirafnya atas apa alasan sekalipun, termasuk memenuhi syarat yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi.

UEC adalah peperiksaan seragam untuk pelajar di 60 sekolah menengah Cina di seluruh negara, dan dikendalikan Dong Zong sejak 1975.
Sijil itu diiktiraf pelbagai universiti terkemuka di seluruh dunia, termasuk Universiti Harvard, Universiti Oxford, Universiti Cambridge, Universiti Toronto dan Universiti Nasional Singapura (NUS).

Tetapi di Malaysia, UEC tidak diiktiraf Kementerian Pendidikan Tinggi untuk kemasukan ke universiti awam.
Di bawah pentadbiran bekas ketua menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, negeri itu mengiktiraf UEC yang bermakna lepasan UEC boleh mencari pekerjaan dalam sektor awam negeri, memasuki kolej dan universiti milik negeri serta memohon pinjaman pendidikan Yayasan Sarawak.

Dalam perkembangan lain, Ibrahim mencadangkan kerajaan menggubal Akta Sabotaj Ekonomi bagi menangani isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Beliau menyarankan akta itu menggunakan konsep Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 bagi mengurangkan proses perundangan panjang dan longgar.
“Isu melibatkan rasuah ratusan juta, mereka ditangkap, disisat dan dibawa ke mahkamah. Selepas itu, reman, bukti hilang dan bila nak dakwa kita tidak tahu.

“Cara terbaik guna konsep ISA dan tidak perlu pakai baju Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang hanya riuh di televisyen.
“Masuk dalam lokap, pasang lampu merah seperti pengalaman dulu dan tanya mana duit kamu simpan. Berapa banyak duit kamu simpan. Berapa banyak kamu lenyapkan duit kerajaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment