ULASAN Saya mengambil maklum dan
mengikuti perkembangan Muktamar Dewan Pemuda PAS. Dalam muktamar
tersebut beberapa pembahas menyasarkan Parti Keadilan Rakyat, YB Rafizi
Ramli dan Datuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
sebagai bahan serangan.
Saya berasa agak terkilan kerana PAS menjadikan PKR sebagai bahan
serangan dan bukannya Umno dan Barisan Nasional. Seharusnya platform
penting seperti muktamar dijadikan pentas utama untuk membincangkan
agenda yang menekan rakyat oleh pemerintah Umno dan Barisan Nasional.
Kerajaan negeri Selangor yang terdiri daripada gabungan PKR, DAP, PAS
dan AMANAH telah mendapat mandat sekali lagi dalam pilihanraya umum
yang lalu.
Adalah tidak masuk akal jika PAS membuat keputusan untuk memutuskan
"tahalluf siyasi" bersama PKR dan pemegang jawatan PAS masih mahu duduk
bersama dalam sebuah kerajaan.
Umum mengetahui PAS tidak mahu menjalin kerjasama bersama DAP dan
AMANAH. Ini bermakna tahalluf siyasi bersama PKR adalah satu-satunya
tiket buat PAS untuk terus duduk bersama dalam sebuah kerajaan seperti
di Selangor. Kelmarin, Dewan Ulama PAS dalam muktamar tahunannya
meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan PKR.
Jika usul ini diterima dalam Majlis Syura, ini bermakna pemegang
jawatan PAS di semua peringkat dalam kerajaan negeri Selangor seharusnya
berundur dari jawatan masing-masing. Perkara ini secara tidak langsung
akan menjejaskan kestabilan politik khususnya di negeri Selangor.
Semalam, Ketua Dewan Pemuda Pas yang baru, Muhammad Khalil Abdul Hadi
berkata dalam muktamar, (bahawa) pimpinan PAS di Selangor tidak perlu
meletak jawatan dalam kerajaan negeri Selangor jika parti Islam itu
memutuskan tahalluf siyasi dengan PKR secara muktamad.
Adalah tidak masuk akal PKR dan PAS bercerai tetapi masih mahu duduk
sebumbung. Perlu saya tegaskan kepada Saudara Muhammad Khalil bahawa
kerajaan negeri Selangor tidak dibentuk dengan hanya kerjasama PKR dan
PAS semata-mata, tetapi DAP dan AMANAH juga punya peranan besar untuk
memperkukuhkan kestabilan kerajaan negeri.
Justeru saya menggesa Majlis Syura Ulama sebagai badan tertinggi
dalam PAS bertindak matang dalam membuat keputusan sebelum sesuatu usul
diterima dan diputuskan.
Kerana sebarang usul yang bertindak memutuskan hubungan tahalluf
siyasi bersama PKR akan mengheret kepada situasi ketidakstabilan politik
khususnya di negeri Selangor dan ini akan memberikan kelebihan kepada
musuh utama Umno dan Barisan Nasional.
Sedarlah bahawa musuh utama kita adalah Umno dan Barisan Nasional dan bukannya parti-parti di kalangan pembangkang.
Malaysiakini 29/4/17
SYED BADLI SHAH SYED OSMAN adalah penolong setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat dan juga setiausaha AMK Selangor
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment