Saturday, April 29, 2017

PPBM: Pendirian Hadi bukti PAS tidak berminat tolak BN

 FMT| April 29, 2017
Ketua Penerangan PPBM, Kamarudin Mohd Noor juga menolak dakwaan Hadi kononnya PPBM sebuah parti caca marba.
Datuk-Kamarudin-Md-Nor-PPBM-BersatuALOR SETAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menolak kritikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar PAS hari ini dengan menegaskan, pihaknya akan terus bergerak ke hadapan bersama sekutu dalam Pakatan Harapan untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).

“Nampaknya, PAS mempunyai objektif yang berbeza daripada pembangkang yang mahu menjatuhkan Barisan Nasional dan membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.
“Apa yang kami cuba lakukan ialah membentuk blok pembangkang tunggal untuk menghadapi BN. Jika ini keutamaan PAS, mereka akan bersama kita. Tidak mengapa, kami akan berganding dengan sekutu kami dalam Pakatan Harapan,” kata Ketua Penerangan PPBM, Kamarudin Mohd Noor kepada FMT.

Kamarudin turut menyangkal dakwaan Hadi kononnya PPBM parti caca marba.
Dengan menekankan struktur objektif dan kepimpinan PPBM, kata Kamarudin, beliau hanya boleh sedih apabila pemimpin-pemimpin PAS tidak sedar tentang perkara itu.

Ketika ditemui wartawan pada muktamar PAS hari ini, parti itu mengulangi pendirian tidak akan menjalin kerjasama politik dengan PPBM.
Hadi berkata, penolakan itu disebabkan kedudukan PPBM dalam keadaan “caca marba” dan tidak mempunyai pendirian jelas.

Katanya, PAS melihat pemimpin PPBM dalam keadaan tidak menentu sehinggakan sukar untuk parti itu berbincang dan bekerjasama.
Sebelum ini, Hadi dilaporkan berkata, PAS tidak akan bekerjasama dengan PPBM jika parti itu menjalin hubungan dengan DAP dan Amanah.
Dalam pada itu, Kamarudin berkata, kajian terbaharu menunjukkan PAS akan kalah teruk dalam pertembungan pelbagai penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kamarudin merujuk kepada kajian Invoke Malaysia, sebuah NGO diketuai Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang mendapati PAS akan menerima undian terendah daripada pengundi Melayu jika membabitkan pertandingan 3 penjuru.
“Di atas kertas, pemenang terbesar akan menjadi BN, tetapi kita tahu bahawa di lapangan, orang ramai amat tidak berpuas hati dan mencari pihak yang berdaya maju untuk mengambil alih Putrajaya dan Pakatan Harapan sedang berusaha ke arah itu.”

Sejak kebelakangan ini, pemimpin Pakatan Harapan, terutama dari PPBM dan PKR menggesa PAS menyatakan sama ada mereka akan menyertai blok pembangkang untuk melawan BN.

Tahun lepas, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyuarakan keyakinan PPBM boleh menjadi pengikat antara PAS dan Pakatan Harapan.
PAS bagaimanapun enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan, terutama DAP dan Amanah yang merupakan sebahagian daripada pakatan bersama PKR dan PPBM.

No comments:

Post a Comment