Malaysiakini 11/1/17
Hati ibu mana yang tidak pilu apabila mengetahui anaknya bakal berdepan dengan hukuman mati iaitu di tali gantung.
Begitulah yang dirasai Eswary Vengatasamy ibu kepada Prabagaran
Srivijaya, seorang rakyat negara ini yang dijatuhkan hukuman mati oleh
mahkamah Singapura atas kesalahan mengedar dadah di republik itu.
Setelah segala usahanya buntu, Eswary seorang ibu tunggal hari ini
tampil merayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya
kerajaan Malaysia campur tangan bagi menyelamatkan nyawa anaknya.
Suasana sidang media hari ini juga suram berikutan Eswary, 54, yang menangis berterusan.
Bertambah pilu apabila ibu itu tidak mampu meneruskan bacaan surat terbukanya kepada Najib.
Dalam surat itu yang salinannya kemudian diedarkan kepada wartawan,
Eswary merayu agar anak sulung daripada dua adik-beradik itu
diselamatkan.
"Saya dengan rendah diri rayu kepada kerajaan Malaysia supaya ambil tindakan untuk menyelamatkan nyawa anak saya, Prabagaran.
"Anak saya tidak patut digantung sampai mati. Saya tidak boleh terima
ini. Dia anak saya, dia orang baik dan tidak ada kelakuan buruk. Saya
minta tolong jangan ambil nyawa anak saya.
"Kerajaan Malaysia ada tanggungjawab ambil tindakan untuk pertahankan
hak nyawa dan hak keadilan anak saya," kata Eswary yang dipetik sebagai
berkata dalam surat terbuka berkenaan.
Kereta ada 'barang'
Malah Eswary turut merayu seluruh rakyat Malaysia menyokong usahanya dalam kes berkenaan.
"Saya seorang ibu tunggal, saya tidak boleh buat apa-apa tanpa bantuan dan sokongan orang lain," katanya dalam surat tersebut.
Eswary turut menceritakan bagaimana Prabagaran membawa kereta yang dipandunya ke Singapura.
"Dia masuk Singapura untuk kerja setiap hari dengan motosikal. Dia
beritahu saya dia takut motosikalnya ditarik kerana tidak buat bayaran.
"Dia
kemudian pinjam motosikal kawannya tetapi kawan dia bagi satu kereta.
Prabagaran ditangkap oleh polis kerana kereta itu ada 'barang'," katanya
sambil menambah anak lelakinya itu sebelum ditangkap bekerja di sebuah
stesen minyak di Singapura.
Menurut Today Online, Prabagaran didapati bersalah membawa
22.24 gram heroin ke Singapura pada 22 September 2014 dan dijatuhkan
hukuman gantung sampai mati.
Beliau ditangkap pada awal pagi 12 April 2012 di Woodlands semasa memandu ke republik itu.
Ketika perbicaraan, Prabagaran yang berusia 27 tahun berkata dirinya
tidak tahu mengenai dadah yang ditemui pihak berkuasa di dalam
keretanya.
Sebelum ini juga seorang ahli parlimen menggesa kerajaan "segera campur tangan" untuk menyelamatkan Prabagaran.
Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran berkata Prabagaran, yang
didapati bersalah pada tahun 2014 telah melalui semua proses rayuan dan
menunggu hukuman mati dalam satu perbicaraan yang menimbulkan
kebimbangan.
"Sabitan dan hukumannya menimbulkan kebimbangan serius terhadap
proses keadilan perbicaraan dan rayuan," kata Surendran dalam satu
kenyataan medianya.
"Dua orang saksi penting yang berada dalam kedudukan untuk menyokong
Prabagaran sebagai tidak bersalah, tidak dipanggil atau disediakan oleh
pihak pembelaan walaupun butir-butir penuh diberi kepada Biro Narkotik
Pusat (CNB)," kata ahli parlimen PKR itu.
No comments:
Post a Comment