Ahli Parlimen Gua Musang itu memetik pepatah itu ketika berkata sudah tiba masanya ahli Umno bertegas dengan pemimpinnya.
KUALA LUMPUR: Ahli Umno perlu mendisiplinkan pemimpin yang dilihat
sudah menyimpang daripada perjuangan parti itu, kata Tan Sri Tengku
Razaleigh Hamzah.
Veteran Umno itu turut memetik kata-kata pepatah “busuk ikan bermula dari kepala” dalam merujuk kepada gesaannya itu.
“Ahli perlu mengawal dan kalau perlu, bertegas dengan pemimpinnya. Masa depan Umno bergantung kepada ahlinya.
“Ia selalunya menandakan bermulanya nepotisme dan kronisme. Jika tidak ditangani, ia akan menjadi budaya dalam parti politik.
“Masa sudah tiba bagi ahli bersama-sama bertegas dan memberitahu
pemimpin parti bekerja keras dan menggerakkan negara mengikut visi
pengasas negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran buku
“The End of Umno” di Royal Lake Club hari ini.
Beliau berkata ia bukanlah sesuatu yang baru, memandangkan ahli Umno yang mendesak pemimpin terdahulu menentang Malayan Union.
Ku Li sebelum ini pernah dikaitkan dengan usaha menyingkirkan Datuk
Seri Najib Razak sebagai perdana menteri melalui undi tidak percaya di
Parlimen.
Katanya, walaupun perlu diakui Umno banyak menyumbang kepada negara,
parti itu kini dilihat tidak lagi berkhidmat kepada rakyat tetapi hanya
menjaga kepentingan pemimpinnya.
Beliau berkata Umno sudah hilang peranannya selaku entiti yang
menyatukan rakyat pelbagai kaum di Malaysia, dan menjadi punca krisis
dihadapi negara hari ini.
“Umno perlu mengambil pelajaran daripada apa yang berlaku kepada
Parti Liberal Demokratik Jepun (LDP) dan Parti Kongres India. Untuk
mengelak nasib sama, Umno perlu kekal relevan,” katanya.
LDP tewas dalam pilihan raya 2009 selepas berdekad mentadbir Jepun,
manakala Parti Kongres yang ditubuhkan pada 1885 semakin hilang
pengaruhnya terutama selepas kemenangan Narendra Modi dan partinya pada
pilihan raya 2014.
No comments:
Post a Comment